Pre-press article
Perbandingan Pola Kesilapan Newman dalam Masalah Berayat Pecahan menerusi Pengajaran Modul CLEAR dan Konvensional
https://doi.org/10.47836/pjssh.34.6.10KeywordsAnalisis kesilapan Newman, kuasi eksperimen, masalah berayat pecahan, modul CLEAR, murid Tahun Empat, pengajaran konvensional
Article content
Abstract
Masalah berayat pecahan bukan sekadar menguji kebolehan mengira. Murid perlu memahami bahasa soalan, mengenal pasti hubungan kuantiti, memilih operasi yang sesuai dan melaksanakan prosedur dengan tepat. Skor keseluruhan sahaja sukar menunjukkan di mana proses penyelesaian mula terganggu. Kajian ini membandingkan pencapaian dan pola kesilapan Newman antara murid yang belajar menggunakan Modul CLEAR dengan murid yang mengikuti pengajaran konvensional. Reka bentuk kuasi eksperimen praujian-pascaujian melibatkan 61 murid Tahun Empat di Kuala Lumpur: 28 murid dalam kumpulan CLEAR dan 33 murid dalam kumpulan konvensional. Intervensi berlangsung 12 minggu, dua sesi seminggu, setiap sesi 60 minit. Pencapaian dianalisis menggunakan statistik deskriptif, ujian-t dan ANCOVA, manakala respons salah dikategorikan mengikut lima tahap Hierarki Kesilapan Newman: membaca (K1), memahami (K2), transformasi (K3), kemahiran proses (K4) dan pengekodan jawapan (K5). Pada praujian, perbezaan antara kumpulan CLEAR (M = 9.00, SD = 4.71) dan kumpulan konvensional (M = 10.70, SD = 3.92) tidak signifikan, t (52.65) = -1.51, p =.136. Kedua-dua kumpulan meningkat secara signifikan: CLEAR, t (27) = 15.20, p <.001, dan konvensional, t (32) = 17.00, p <.001. Selepas skor praujian dikawal, ANCOVA tidak menunjukkan perbezaan pencapaian pascaujian yang signifikan, F (1,58) = 1.46, p =.233, η²p =.024. Walaupun skor pascaujian hampir setara, komposisi kesilapan berbeza. Kumpulan CLEAR mencatatkan K1 dan K2 lebih rendah, tetapi K3, K4 dan K5 lebih tinggi berbanding konvensional. Corak ini menunjukkan bahawa analisis Newman memberi gambaran diagnostik yang tidak dapat diperoleh melalui skor pencapaian keseluruhan semata-mata.