Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities
Pertanika Journal Home Facebook
Pertanika · Universiti Putra Malaysia Press

Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities

Official journal of Universiti Putra Malaysia for scholarly work across the social sciences, humanities and related interdisciplinary fields.

e-ISSN 2231-8534 ISSN 0128-7702
Pre-press article

Mongkokonan dan Transformasi Autoriti Adat dalam Masyarakat Murut Bookan di Sabah

Yusten Karulus, Amy Azuan Abdullah, dan Maine Suadik

https://doi.org/10.47836/pjssh.34.6.20
KeywordsAutoriti politik, hubungan negara-masyarakat, legitimasi, mongkokonan, Murut Bookan, tadbir urus adat
Article content

Abstract

Pentadbiran British dan perkembangan pentadbiran negeri pada era pascakolonial telah menyusun semula struktur autoriti politik dan tadbir urus tempatan masyarakat peribumi di Sabah. Namun, perubahan ini tidak semestinya menyebabkan autoriti adat digantikan sepenuhnya oleh jawatan formal dalam struktur tadbir urus negara. Artikel ini meneliti transformasi jawatan mongkokonan dalam sistem tadbir urus tradisi masyarakat Murut Bookan di Daerah Sook, Sabah, dengan menumpukan perubahan kedudukan jawatan, pelaksanaan fungsi dan sumber legitimasinya. Kajian kualitatif ini menggunakan temu bual mendalam, sumber primer arkib dan analisis dokumen, dengan menggabungkan perspektif state-in-society dan pluralisme undang-undang. Dapatan menunjukkan tiga perubahan utama. Pertama, mongkokonan tidak lagi wujud sebagai jawatan khusus dan istilah tersebut semakin jarang digunakan. Perubahan ini berlaku dalam konteks perkembangan struktur dan jawatan pentadbiran formal pada peringkat tempatan. Kedua, kehilangan jawatan tersebut tidak menyebabkan fungsi autoriti adat lenyap sepenuhnya. Fungsi memberi nasihat, mediasi dan penyelesaian pertikaian kini sebahagian besarnya dilaksanakan oleh Ketua Kampung, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Anak Negeri (KAN). Ketiga, legitimasi tidak berpindah sepenuhnya kepada pemegang jawatan formal kerana orang tua yang berpengetahuan tentang adat masih dirujuk dalam perkara tertentu, walaupun amalan ini semakin berkurangan. Artikel ini berhujah bahawa transformasi mongkokonan mencerminkan penyusunan semula autoriti adat, bukannya penggantian sepenuhnya, melalui pembentukan tadbir urus berlapis yang menggabungkan struktur formal dengan pengetahuan adat dan pengiktirafan masyarakat.